Selamat Hari Raya 2015

16/07/2015

Assalamulalikum dan Salam Sejahtera kepada semua,

Ahlamdulillah, bersyukur kita kepada Ilahi kerana memberi kita kekuatan mengharung berbagai cabaran disepanjang bulan Ramadhan ini. Kami yakin ramai ahli tertunggu-tunggu ketibaan bulan Syawal yang akan diraikan dengan gembira bersama keluarga tersayang. Dalam masa yang sama, kita tidak lupa juga kepada mereka yang kurang bernasib baik terutama dikalangan ahli kesatuan.

Saudaraku,

Pelbagai peristiwa telah berlaku sepanjang bulan Ramadhan ini seperti kes-kes disiplin, salah laku, pembuangan kerja, ketidakadilan dan juga perubahan organisasi. Di sini, kami ingin mengingatkan sesama kita bahawa sebagai pegawai kelas satu Maybank, kita perlu ada jati diri yang mantap. Kita perlu dan sentiasa ingat bahawa kita adalah penjaga harta pelanggan, oleh itu kami yakin bahawa setiap ahli AMCO perlu berada di dalam keadaan yang cemerlang, peka dan sentiasa menjaga kepentingan pelanggan. Ahli-ahli kesatuan yang menyaksikan sebarang salah laku perlu bertindak segera melalui saluran yang disediakan. Amat malanglah jika ahli kesatuan kurang memberi tumpuan kepada tugas yang akhirnya akan menyebabkan kerugian. Ahli juga perlu amanah kepada diri sendiri dalam melaksanakan tugas harian. Kita perlu menyumbang daya usaha pada tahap tertinggi disamping mendapat apa yang diberi sebagai hak kepada pekerja. Contohnya, seperti kerja lebihan masa, tuntutan elaun lebih masa adalah menjadi hak kita setelah kita bekerja mengikut kadar yang telah ditetapkan. Catatan ini adalah perlu untuk pihak majikan mengenal pasti sebarang ketidak keseimbangan pada proses kerja. Maka, pekerja perlu tuntut dan menyatakan kuantiti kerja yang dilakukan dalam bentuk elaun lebihan masa disamping merakamkan jumlah kerja yang dilakukan seharian. Ini agar kesemua pihak akan faham situasi sebenar dan mengambil langkah sepatutnya untuk menentukan juga mempunyai ‘work life balance’.

Satu lagi situasi yang agak mendatangkan kerisauan kesatuan adalah penutupan beberapa cawangan bank atas dasar langkah pengawalan kos yang lebih efisien. AMCO ingin juga menegaskan bahawa sementara keputusan cara berniaga berada di tangan majikan, pekerja juga perlu diyakinkan bahawa mereka tidak akan hilang pekerjaan. Dalam situasi ekonomi yang tidak menentu, kejatuhan matawang, cukai-cukai baru serta kenaikan harga barang, majikan adal dipertanggungjawabkan untuk tidak menghapuskan pekerjaan yang sedia ada.
Walau apapun yang bakal berlaku, kami yakin bahawa ahli AMCO sentiasa bersedia mengharungnya. Dan menjadi harapan kami agar semua ahli melaporkan sebarang bentuk penyalahan gunaan kuasa dari pihak majikan.

Saudaraku sekelian,

Kami mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua ahli-ahli kesatuan. Semoga Ramadhan yang berlalu telah mendewasakan kita dalam ilmu kehidupan dan salam keputusan-keputusan yang bakal kita ambil. Kepada semua yang akan memandu balik ke kampung halaman atau memandu pada Hari Raya, ingat supaya berhenti seketika pabila terlalu letih. Biar kita lewat sedikit asalkan jangan tidak sampai langsung.
Selamat Hari Raya
Maaf Dzahir Batin
Untuk AMCO
Zainurin Hj Zainal Abidin